YB Rodziah rasmi program SPIES Ibu Tunggal
Y.B. Puan Rodziah Ismail yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Selangor telah meluangkan masa merasmikan program SPIES Keluarga (SMART MUM) yang melibatkan golongan ibu tunggal pada 18 Julai 2010 yang lalu di Morib.
Dalam ucapan perasmiannya, Y.B.Rodziah menekankan bahawa selain masalah ekonomi wanita, golongan wanita juga harus diberikan ilmu-ilmu tentang hak-hak dan undang-undang wanita.
“Dalam hal ini, kita percaya kaum wanita di Selangor haruslah diberdayakan. Wanita harus diberi daya supaya mereka boleh bangun, aktif, bergerak ke sana ke sini. Inilah rupa wanita di Selangor yang kita inginkan. Bukan menjadi golongan yang diperdayakan, hanya mengikut sahaja apa orang lain kata, ujar beliau.
Menurut beliau lagi, semasa Kerajaaan Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan daripada Barisan Nasional di Selangor, bilangan ibu tunggal yang berdaftar di Selangor adalah sebanyak 1,500 sahaja.
“Namun, apabila kita melaksanakan pendaftaran ibu tunggal secara online melalui portal ibu tunggal Selangor, sekarang ini sudah mencecah 26,000 ibu tunggal yang mendaftar. Itulah sebenarnya jumlah yang benar-benar perlu kita tangani,” kata beliau.




