Perlu Kesedaran Jaga Kebersihan : Rodziah
Penjagaan kebersihan alam persekitaran perlu mendapat kesedaran daripada orang ramai, kata Exco Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.
Ia kerana, jika masyarakat peka dan sensitif tentang perkara ini, penyelesaian kepada masalah berkaitan isu sampah akan lebih mudah, sekaligus memelihara kesejahteraan alam sekitar.
Kata Rodziah, isu sampah merupakan isu utama tetapi ia boleh dilakukan sekiranya pengurusan sampah dilakukan dengan baik dan masyarakat menggunakan kreativiti serta inovasi mereka untuk melupuskan sisa buangan dengan lebih sempurna.
“Kita harap ini akan jadi satu tempat untuk adakan program untuk membinan kreativiti orang ramai dan kesedaran mereka penting dalam menangani masalah ini, maknaknya perlu ada kesedaran, dan sikap kreativiti dan inovasi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Kitar Semula di Seksyen 17, Shah Alam, pagi tadi.
Menurut Rodziah Pusat Khidmat Komuniti Kitar Semula ini diwujud bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram, khususnya sampah lengai yang banyak berlaku di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Katanya, ia dikhususkan untuk komuniti supaya mereka menggunakan kemudahan ini untuk membuang sampah lengai seperti sisa kebun, sisa elektronik, katil terbuang, tilam, perabot dan perkakas lain.
Beberapa tong sampah disediakan secara berasingan dan memenuhi keperluan dan kapasiti jenis-jenis sampah yang dibuang oleh penduduk.
“Kita mahu mengajar mereka, buang sampah disini kerana jika kita tengok, sepanjang jalan penuh dengan sampah, jadi tempat ini tidak dikenakan bayaran untuk membuang sampah berbanding tempat lain, ini percuma,” katanya.
Sebuah syarikat konsesi kitar semula, Danish International Development Assistant atau Danida telah memperuntukkan 400 ribu ringgit kepada MBSA untuk menyediakan infrastruktur dan mempromosikan pusat komuniti ini.
Penduduk yang membuang sampah di pusat ini tidak dikenakan sebarang bayaran dan ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 9 malam pada cuti hujung minggu.
Sumber: www.tvselangor.com