20 Keluarga Setinggan Terima Kunci Rumah
Perayaan Tahun Baru Cina kali ini pastinya paling bermakna bagi 20 keluarga setinggan di sekitar Taman Batu Tiga, Shah Alam apabila mereka menerima kunci rumah masing-masing di Apartmen Mutiara Subang.
Keluarga ini merupakan keluarga setinggan yang nama mereka tercicir dari senarai setinggan yang layak memiliki rumah dalam bancian yang dibuat dahulu.
20 keluarga ini terpaksa menunggu selama empat tahun sebelum dapat menduduki rumah rumah baru mereka, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, hak 20 setinggan itu sebelum ini dinafikan menyebabkan mereka gagal memiliki rumah berkenaan walaupun berstatus setinggan.
“Tujuan pembinaan bangunan ini untuk menempatkan setinggan yang sudah diiktiraf sebagai setinggan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MPSJ) dipindahkan ke sini termasuklah 20 setinggan yang tercicir ini.
“Sewaktu saya diberi amanah ini, hak setinggan ini dinafikan dan rumah yang sepatutnya mereka dapat dijual terlebih dahulu kepada pihak lain yang tidak layak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, terdapat juga setinggan yang mengambil keputusan untuk membayar deposit untuk menetap di sini.
“Setelah meneliti segala dokumen berkaitan yang mengesahkan mereka adalah setinggan di kawasan itu, perkara ini dibawa dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang kemudiannya memutuskan untuk menempatkan semula 20 setinggan ini di apartmen ini.
“Mereka tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan kerana mereka sepatutnya diberi hak untuk tinggal di sini,” katanya yang turut memaklumkan bahawa kesemua 80 unit rumah di apartmen itu sudah dihuni.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Rodziah turut menyumbangkan hamper kepada penghuni-penghuni apartmen itu sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi. Sinar Harian